Melihat di cermin, bilakah kali terakhir anda memberi perhatian terhadap payudara anda? Adakah mereka sentiasa kelihatan dan terasa sama? Sama seperti bahagian-bahagian lain di badan kita, payudara kita memerlukan penjagaan dan perhatian, jika tidak lebih.

Kanser payudara merupakan kanser yang paling biasa bagi wanita di seluruh dunia. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), lebih kurang 2.3 juta wanita telah disahkan menghidap kanser payudara pada tahun 2020 dan jumlah kes baharu dijangkakan akan meningkat kepada tiga juta dari tahun 2020 sehingga tahun 2040. Pemeriksaan mandiri payudara berguna untuk meningkatkan kesedaran tentang keadaan payudara yang normal, dan membantu dengan pengesanan awal kanser payudara sebelum ia merebak. Lebih awal diagnosis dan rawatan bermula, lebih tinggi peluang untuk hidup.

Pemeriksaan mandiri ialah cara yang berguna untuk mengesan dengan mudah sebarang ketulan, benjolan, atau kelainan baru di rumah. Berikut adalah semua yang anda perlu tahu mengenai pemeriksaan mandiri payudara.

Pemeriksaan Mandiri Payudara

Semasa pemeriksaan mandiri payudara, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian, terutamanya perubahan abnormal baru-baru ini yang mungkin menunjukan masalah kesihatan yang mendasari.

  1. Berdiri dihadapan cermin dan perhatikan sebarang perubahan abnormal yang boleh dilihat pada payudara dengan kedua-dua tangan anda di sisi. Kemudian, ulangi dengan tangan anda terangkat di atas kepala anda, dan dengan tangan anda di pinggul. Beberapa tanda dan gejala kanser payudara yang boleh diperhatikan termasuk bengkak pada payudara, keluar cecair dari puting, kulit payudara berkerut, ruam merah bersisik pada atau di sekitar puting, dan puting masuk ke bahagian dalam.

2. Angkat satu tangan di atas kepala anda dan gunakan tiga jari untuk merasa payudara anda pada sisi yang sama dengan tangan anda yang terangkat. Lakukannya dalam gerakan membulat kecil di sekitar payudara dan ke arah puting dan kemudian dalam gerakan ke atas dan ke bawah juga. Selepas itu, rasa ketiak anda dan kawasan antara ketiak dan payudara anda juga. Ambil perhatian jika terdapat sebarang penebalan baru pada kulit payudara anda atau ada ketulan baru di bawah kulit anda. Ulangi prosedur yang sama pada payudara yang satu lagi, kemudian ulangi keseluruhan rutin sambil berbaring dengan bantal di bawah bahu sisi yang anda periksa. Picit puting anda dengan perlahan dan amati jika ada sebarang cecair yang keluar. Ketulan semasa haid biasanya normal dan akan hilang apabila anda sudah tamat haid, tetapi ketulan baharu mungkin memerlukan perhatian tambahan jika ia berterusan selepas haid anda dan tidak terasa sama pada kedua-dua payudara.

3. Jika anda melihat ada mana-mana perubahan tidak normal yang dinyatakan pada payudara anda, ianya adalah penting untuk melawat doktor keluarga anda dengan secepat mungkin. Mereka mungkin akan menjalankan beberapa pemeriksaan, dan jika perlu, mereka akan merujuk anda kepada pakar payudara untuk perundingan atau ujian lanjut. Secara amnya, wanita di atas umur 40 tahun digalakkan untuk menjalani pemeriksaan mamografi setiap tahun.

Ianya adalah digalakkan untuk memulakan pemeriksaan mandiri payudara sekitar umur 20 tahun. Cuba lakukan sekali setiap bulan untuk membiasakan diri dengan bagaimana rasa normal payudara anda, dengan cara itu ianya lebih mudah untuk mengesan sebarang perubahan yang tidak normal. Masa terbaik untuk melakukannya adalah seminggu setelah haid anda tamat, apabila kelembutan payudara yang disebabkan oleh perubahan hormon berkurangan.

Ia mungkin akan terasa sedikit aneh apabila anda mula melakukan pemeriksaan mandiri payudara kerana anda mungkin tidak biasa dengan bagaimana rasa payudara anda (saya tahu saya agak ketakutan ketika pertama kali saya merasa ketulan ‘normal’), tetapi lama-kelamaan anda akan lebih mengenali payudara anda, dan mengetahui perubahan akan menjadi lebih mudah. Jika anda bimbang akan sebarang perubahan terhadap payudara anda, atau anda hanya mahukan sedikit panduan tentang bagaimana untuk memulakan pemeriksaan mandiri payudara, jangan teragak-agak untuk menghubungi doktor anda untuk mendapatkan nasihat.

This article originally appeared in our Women’s Issue, be sure to read it here!